Barang kemas atau perhiasan adalah perkara neutral dalam berfesyen. Setiap individu mempunyai perhiasan yang sesuai untuk warna dan rona kulit masing-masing.
Perkara ini dapat dilihat semasa kita memilih aksesori untuk digayakan setiap hari. Seringkali, kita cenderung memilih perhiasan yang sama sebagai pilihan sehari-hari, walaupun terdapat puluhan pilihan lain dalam peti ‘harta karun’ kita.
Admin sendiri, suka memilih memakai warna hijau dan putih-kuning. Berulang kali, saya tetap tidak jemu dengan kedua-dua warna ini dan tidak timbul rasa mahu mengambil warna lain.
Mengapa perkara begini berlaku?
Apa yang menjadikan aksesori berwarna putih-kuning dan hijau ini istimewa buat saya? Saya mencari-cari jawapannya sehinggalah saya diberitahu mengenai tona kulit dan kepentingannya terhadap pemilihan warna aksesori oleh Perunding Imej Seanggun Bidadari, Puan Muna’ Izzah Fadzil.
Aksesori itu sendiri mempunyai ‘kuasa’ terhadap penampilan seseorang, sama ada menjadikan pemakainya lebih berseri atau suram.
Namun, mengetahui warna yang sesuai untuk tona kulit tidak menghalang kita memilih aksesori dengan tema warna bertentangan selagimana ia tidak digunakan sebagai warna utama.
Bagaimana mahu mengetahui tona warna kulit kita?
Ikuti 3 langkah ini:
1. Cuci muka.
Pastikan ia warna asal kulit kita. Sekiranya baru pulang dari aktiviti yang melibatkan pendedahan kepada cahaya matahari untuk masa yang lama, tunggu sehingga kesan ‘sunburn’ hilang.
Jika puan baru membuat rawatan ‘skin tanning’, tunggu juga sehingga warna kulit kembali ke warna asal (± 2 minggu).
Bersihkan kesan solekan pada wajah, dan sapu pelembap pada wajah. Tunggu 15 minit bagi membiasakan kulit dengan suhu dan kelembapan persekitaran.
2. Ambil cermin dan berdiri di ruang yang banyak sumber cahaya semulajadi.
Tidak perlu dapatkan cahaya matahari secara langsung sehingga berdiri di bawah terik matahari.
Mencukupi asalkan kawasan itu disimbah cahaya tanpa tapisan seperti di tepi tingkap atau balkoni.
3. Pegang kertas putih di sebelah muka.
Perhatikan warna yang terbias pada kulit wajah.
Jika ia menampakkan ciri-ciri merah jambu, ia bermaksud tona warna kulit anda adalah bersifat sejuk (cold).
Sebaliknya, jika warna yang terbias pada wajah berwarna kekuningan, tona kulit anda bersifat panas (warm).
Sudah tahu tona warna kulit, warna apa pula yang sesuai dipakai?
Warna apa yang tergolong dalam kategori warna panas dan sejuk?
+ Individu dengan tona kulit berwarna panas sesuai memakai warna cerah (bright) seperti emas, oren, hijau terang, putih, kuning.
+ Bagi individu dengan tona kulit berwarna sejuk, mereka sesuai dengan warna-warna sejuk (kool) seperti biru, hitam, merah, hijau lembut, coklat, dan ungu.
Sudah tahu tona warna kulit sendiri? Sekarang, periksa kotak aksesori dan pakaian masing-masing. Adakah ada warna yang bertentangan dengan tona kulit kita?
Adakah perkongsian ini bermanfaat? Jika ya, klik share.